Tuesday 28 June 2011

Ewell dan Gagne


PRINSIP – PRINSIP PEMBELAJARAN EWELL (1997)

Ewell (1997) telah membentuk satu model yang menggambarkan prinsip-prinsip
pembelajaran dan ini mempengaruhi penguasaan pengetahuan, perkembangan
kemahiran dan kompetensi apabila diaplikasikan di dalam bilik darjah.

1. Penglibatan Aktif

Mengikut Ewell (1997) ’’the learner is not 'receptable’ of knowledge, but rather creates
his or her learning actively and uniquely’’
Dalam hal ini pelajar perlu membina pengetahuan dengan melibatkan diri secara aktif
dalam pengajaran guru kerana pengetahuan tidak disampaikan secara langsung kepada
mereka. Bruner (1961) telah mencadangkan pelajar melibatkan diri secara aktif dengan
bahan pembelajaran supaya dapat kembali mengingat maklumat yang diperlukan.Mayer
(2004) mencadangkan pelajar harus aktif secara kognitif. Pelajar yang terlibat dengan
aktif dalam proses pembelajaran mampu menyelesaikan masalah, mengemukakan
cadangan, memberikan pengertian baru kepada sesuatu topik,dan berkebolehan untuk
menghubung kait apa yang telah dipelajari kepada konteks yang baru ( Ewell 1997)


2. Perkaitan dan Corak

Mengikut Ewell (1997) “involves actively creating linkages among concepts, skill
elements,people and experiances” (p.7) Prinsip ini menerangkan bagaimana pelajar
mempunyai peluang membina, menentu, menguji dan membina corak serta
perkaitannya daripada situasi pembelajaran. Melalui pembelajaran ini, pelajar dapat
mewujudkan suasana yang bermakna terhadap aktiviti pembelajaran yang mempunyai
kaitan dan bentuk yang tertentu. Mengikut Woolfolk (2004), pelajar membuat perkaitan
dengan pengetahuan sedia ada dan pelajar juga membuat perkaitan tentang bagaimana
maklumat boleh digunakan pada masa hadapan.

3. Pembelajaran Informal

Pembelajaran tidak hanya berlaku di dalam bilik darjah sahaja ataupun pada waktu
pengajaran tetapi boleh berlaku di mana–mana sahaja serta pada bila-bila masa.
Pembelajaran informal membolehkan pelajar memperoleh pengetahuan di luar bilik
darjah melalui interaksi dengan persekitaran. Sebagai contoh program lawatan sambil
belajar dapat memberi peluang kepada pelajar belajar sesuatu yang baru.
Pembelajaran informal merupakan pembelajaran implisit iaitu pengetahuan diperoleh
akibat interaksi secara langsung atau melalui pelbagai cara daripada rakan sebaya,
orang yang lebih dewasa atau persekitaran.
4. Pengalaman Langsung
Melalui pengalaman langsung, pelajar diberikan peluang untuk menguasai pengetahuan dan kemahiran dengan memerhati secara lansung objek atau fenomena yang ingin dikaji. Aktiviti seperti ini membantu pelajar membentuk pemahaman terhadap apa-apa
yang dipelajari. Pengalaman langsung dalam konteks yang sebenarnya amat
diperlukan supaya dapat mengubah tanggapan atau andaian yang salah tentang
sesuatu. Pelajar dapat menemukan dan meneroka serta mengalaminya sendiri dan
bukannya melalui pembacaan, pendengaran atau maklumat dari orang lain.

5. Situasi Mendesak.

Prinsip pembelajaran jenis ini mengandaikan bahawa pembelajaran optimum
berkemungkinan boleh berlaku sekiranya seseorang berhadapan dengan masalah yang
memerlukan penyelesaian tertentu. Sekiranya pengajaran adalah dalam situasi yang
mendesak dengan pengalaman secara langsung dengan sesuatu yang benar-benar
berlaku, maka pembelajaran tersebut akan lebih mencabar dan menarik bagi pelajar
tersebut. Hal ini berlaku disebabkan terdapat satu keseimbangan antara cabaran
dengan peluang dalam mana-mana situasi pembelajaran. Jika pelajar menghadapi satu
situasi yang kompleks, ini akan memotivasikannya untuk mencari jalan penyelesaian.

6. Maklum Balas Berterusan

Maklum balas merupakan maklumat yang diberikan kepada individu tentang kesesuaian
tindakan serta respon mereka. Maklum balas yang berkesan harus bersandarkan
kepada analisis yang tepat tentang prestasi pelajar dan perlu dilakukan serta merta
supaya pelajar tidak melakukan kesilapan. Pelajar boleh mendapatkan maklum balas
daripada guru dan rakan-rakannya tentang prestasinya dan dengan cara ini mereka
dapat meningkatkan kemampuan prestasinya.

7. Sesuatu yang menyeronokkan.

Pembelajaran perlu merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Menurut Ewell (1997)
maklum balas serta pembelajaran berkesan berlaku jika pelajar berada dalam
persekitaran yang menyeronokkan, iaitu interaksi peribadi dan sokongan padu daripada
guru secara peribadi. Persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan merangkumi
konteks budaya dan interpersonal menyediakan banyak peluang interaksi sosial dan
pembelajaran.

8. Refleksi

Refleksi ialah proses memikir atau merenung kembali pengalaman dan implikasinya
terhadap diri kita. Ia merupakan satu usaha bermakna untuk menjiwai proses
pengajaran dan pembelajaran,membantu mengimbangkan kepercayaan kita dengan
keperluan pelajar (Noraiti, Boon & Sharifah, 2009) Pelajar dapat mengawal
pembelajaran mereka serta dapat meningkatkan kemahiran penilaian kendiri dan untuk
melihat semula apa yang telah dibuat dan yang perlu dibaiki.

PRINSIP PEMBELAJARAN GAGNE


Sekarang mari kita melihat pula jenis-jenis pembelajaran yang dikemukakan oleh Gagne
(1985). Gagne mendefinisikan pembelajaran sebagai ”a change in human disposition or
capability, which persist over period of time and which is not simply ascribe to processes
of growth”.
Dalam bukunya, Gagne (1985) telah mencadangkan lima jenis pembelajaran utama
yang mana setiap satunya memerlukan cara pengajaran yang berbeza. Kelima-lima
jenis pembelajaran tersebut ialah :

1. Kemahiran intelek

Kemahiran intelek merujuk kepada pengetahuan ’procedural ’ seseorang individu.
Gagne (1985) telah menganalisis satu episod pembelajaran yang terdiri daripada
pelajar, suatu situasi rangsangan yang merupakan episod-episod yang merangsang
deria pelajar dan satu tindakan atau respons yang terhasil akibat rangsangan.

Antara kategori kemahiran intelek yang dikemukakan oleh Gagne ialah :

a) Pembelajaran Isyarat - dimana individu bertindak balas terhadap terhadap
sesuatu signal.
b) Pembelajaran Hukum - melibatkan gabungan dua atau lebih konsep yang
berkaitan dalam sesuatu urutan atau rangkaian.Melalui pembelajaran ini, pelajar
dapat menerangkan konsep, menggunakan rumus,prinsip dan membuat
generalisasi.
c) Pembelajaran Konsep - iaitu kebolehan untuk mengklafikasikan objek dan
peristiwa mengikut ciri-ciri tertentu.
d) Pembelajaran Diskriminasi - belajar membezakan benda mengikut ciri tertentu,
untuk memudahkan proses mengkategori dan menyimpannya dalam ingatan.
e) Penyelesaian Masalah - pembelajaran ini melibatkan penggunaan prinsip,
rumus, generalisasi, konsep dan hukum untuk menyelesaikan masalah
dalam sesuatu situasi baru.
f) Rantaian – satu rantaian dua atau lebih perkaitan rangsangan – respons
dikuasai
g) Asosiasi Verbal – satu pembelajaran rantaian berbentuk verbal
Kebanyakan idea Gagne tentang analisis tugasan menunjukkan pembelajaran berlaku
secara berperingkat (hierarchy) iaitu bergerak daripada peringkat paling mudah kepada
peringkat paling kompleks.Perkara penting dalam hierarki ini ialah mengenal pasti
prasyarat yang harus disempurnakan untuk memudahkan cara pembelajaran pada
setiap peringkat.

2. Maklumat Verbal
Pembelajaran jenis ini merujuk kepada kebolehan seseorang mengungkap sesuatu
peristiwa atau fakta sama ada secara lisan atau tulisan.Untuk membolehkan seseorang
individu dapat melakukan sedemikian, dia perlu mempunyai kemahiran intelek dalam
mengungkap atau menyebut sesuatu pernyataan, konsep,prinsip-prinsip atau prosedur.

3 Strategi kognitif
Strategi kognitif pula merupakan kemahiran-kemahiran di mana pelajar dapat
mengawal sendiri proses -proses dalaman seperti memberi perhatian, belajar,mengingat
dan memikir sesuatu.Untuk membolehkan kemahiran intelek ini diperoleh, pelajar perlu
menguasai pelbagai strategi seperti strategi mengingat, strategi berfikir dan strategi
mengingat kembali perkara yang telah dipelajari.

4. Kemahiran Psikomotor
Merupakan kebolehan untuk melakukan pergerakan fizikal mengikut urutan dengan
tepat dan betul. Pembelajaran jenis ini melibatkan beberapa tahap iaitu pelajar akan
belajar urutan yang berkenaan, kemudian mengamalkan pergerakan psikomotor
tersebut dan akhirnya pemurnian pergerakan tersebut berasaskan maklum balas
daripada persekitaran mereka.

5. Sikap
Gagne (1985) menyatakan sikap merujuk kepada keadaan dalaman yang
mempengaruhi pilihan tindakan seseorang. Sikap seseorang dapat diperlihatkan melalui
tingkah laku yang ditunjukkannya.Sikap boleh dipelajari dan dikuasai melalui
pengalaman dan pemerhatian.Untuk memupuk sikap yang diingini, guru perlu
mengaitkan kejayaan dengan sikap yang tertentu atau penggunaan model yang boleh
memupuk sertai mengukuhkan tingkah laku positif.Selain itu, perlu pengukuhan supaya
tingkah laku yang diingin dapat dimanifestasi.

2 comments:

  1. Nak mintak penjelasan boleh? berkenaan kategori kemahiran intelek yang dikemukakan oleh Gagne. sy tk faham sgt dengan apa yang Gagne katakan tntg kategori kemahiran intelek.
    mohon penjelasan.~

    ReplyDelete